Isnin, 21 Februari 2011

Panduan Membeli Rumah Lelong

Peluang mendapatkan rumah lelong tidak harus dilepaskan begitu sahaja. Adalah lebih baik jika peluang itu digunakan sebaik mungkin. Kerana kebiasaannya rumah yang dilelong ini berharga lebih murah berbanding pasaran dan adakalanya pembeli mampu berjimat sehingga 40%.

Hal ini ditambah dengan lokasi yang menarik, rumah lelong berdaya maju akan menjadi sebagai pilihan pelaburan. Ini disebabkan harga rumah baru yang sedang atau bakal dibina semakin meningkat. Jadi rumah yang dilelong secara automatik mendapat perhatian masa kini.

Dalam membuat keputusan memilih hartanah yang terbaik, terdapat kelebihan dan kekurangannya. Antara kelebihan membeli rumah yang dilelong ialah sebagai pembeli, kita boleh meninjau terlebih dahulu rumah itu untuk melihat sebarang kerosakan atau merancang pengubahsuaian jika perlu serta mendapat nasihat guaman.

Kebanyakan hartanah yang dilelong terletak dalam kawasan utama pelaburan. Malah, sebahagian kawasan berkenaan juga sudah dibangunkan sepenuhnya dan pihak bank turut menyediakan pakej pinjaman khas.

Malah, kita hanya perlu membayar deposit 5% saja daripada harga rumah berbanding 10% jika membeli rumah biasa. Justeru, memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri.

Rumah lelong sesuai untuk mereka yang berminat membuat pelaburan dalam bidang hartanah kerana dapat menyelamatkan pembeli daripada masalah rumah tidak siap atau pun pemaju lari. Bagi mereka yang ingin membeli rumah kedua, rumah lelong adalah yang paling sesuai kerana ia dijual pada harga berpatutan.

Terdapat beberapa tips yang berguna jika hendak membeli rumah lelong. Antaranya ialah sebelum membeli rumah itu, buat carian hak milik secara rasmi di pejabat tanah. Kemudian lawati harta itu serta pergi ke pejabat pemaju untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

Jika boleh, berhubung dengan pelelong untuk perisytiharan jualan lelong dan dapatkan nasihat lanjut daripada peguam bank untuk maklumat lebih lengkap. Kita juga boleh mengambil gambar dan datang ke tempat lelongan pada masa ditetapkan.

Pada hari lelongan, pembida diwajibkan membawa bersama antara lima sehingga 10% harga rizab harta berkenaan (bergantung kepada pelelong), sama ada dalam bentuk bank draf atau tunai. Lazimnya cek tidak diterima. Mereka juga perlu membawa kad pengenalan asal dan perlu ada dua salinan.

Jika menjadi wakil sebagai pembida, kita perlu membawa kedua-dua kad pengenalan asal dan surat kuasa yang membenarkan kita menjadi wakil mendapatkan lelongan, namun mereka hanya boleh menyertai lelongan untuk hartanah yang berstatus bumiputera.

Secara asasnya, untuk membeli hartanah / rumah di lelongan awam, anda perlulah:

•    Menyediakan deposit iaitu bersamaan 5% atau 10% daripada harga rezab -
Anda perlu memastikan jumlah itu dalam tema Pengisytiharan Jualan dalam iklan lelongan sama ada di akhbar atau pun melalui pelelong. Sebaliknya hubungi pelelong untuk maklumat lanjut.

•    Membuat bayaran deposit –
Kebiasaannya dua jenis bayaran diterima untuk deposit adalah melalui ‘Bankers Cheque’ dan ‘Cashiers Order’.
Walau bagaimanapun, sesetengah bank atau pelelong menerima pembayaran dalam bentuk kad kredit atau tunai.
Anda perlu dapatkan maklumat ini dalam Pengisytiharan Jualan atau menghubungi pelelong dan sebaliknya mengelak daripada membayar secara tunai.

•    Mendaftar diri sebagai pembida –
Anda boleh hadir pada waktu lelongan seawal satu atau dua jam awal untuk pendaftaran.

Pastikan membawa bersama deposit untuk pendaftaran dan mendapatkan resit bayaran / borang pendaftaran pembida daripada pelelong.

Sila pastikan juga nombor lelongan hartanah sama dengan hartanah yang ingin dibida dan cuba elakkan daripada memaklumkan kepada orang tidak dikenali mengenai hartanah yang ingin dibida dan harga tertinggi yang sanggup anda bida. Ini bagi mengelakkan maklumat anda diketahui pihak lain di leleongan berkenaan.

•    Menggunakan ejen sebagia wakil anda –

Selain menghadiri sendiri lelongan itu, anda boleh mendapatkan khidmat ejen hartanah yang boleh bertindak sebagai wakil anda untuk membuat bidaan.

Pastikan ejen itu adalah daripada wakil syarikat ejen hartanah yang sah. Anda boleh menghubungi pelelong untuk mendapatkan kepastian mengenai ejen itu.
 
•    Membuat bidaan –
 Selepas lelongan bermula, anda akan diberikan nombor pengenalan bidaan untuk membuat bidaan apabila giliran hartanah yang ingin dibida tiba.

Pelelong akan membaca sedikit maklumat asas mengenai hartanah itu sebelum bidaan dimulakan pada harga rezab.

Mereka akan mengumumkan jumlah kenaikan setiap bidaan jika terdapat lebih dari satu pembida, contohnya kenaikan RM1,000 pada setiap bidaan.

Anda hanya perlu menunjukkan nombor bidaan anda apabila ingin membuat bidaan. Lelongan akan berhenti apabila tiada lagi persaingan untuk bidaan.

•    Pengumuman pembida berjaya –
Selepas tiada lagi pebida yang membuat tawaran lebih tinggi, pelelong akan mengira sehingga tiga kali dan seterusnya mengetuk tukul menandakan lelongan ditutup serta mengumumkan pembida yang berjaya.

Pembida yang berjaya kemudian dikehendaki menandatangani borang penerimaan belian dan membayar baki deposit kepada pelelong.

•    Mendapatkan pinjaman –
 Dalam tempoh 90 hari, pembeli dikehendaki menjelaskan baki harga jualan sama ada dengan mendapatkan pinjaman ataupun membayar tunai.

Jika tidak dilaksanakan, pembeli berisiko berdepan kehilangan wang deposit kecuali jika kelewatan yang bukan disebabkan pembeli.

Langkah di atas adalah panduan asas untuk membuat bidaan di lelongan awam. Ia sebenarnya tidak susah dilakukan tetapi bagi mereka yang baru mencuba untuk membida, berhati-hati dan sebaiknya mendapatkan nasihat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang bidaan.

Paling penting, kita perlu mendapatkan terlebih dulu pandangan profesional. Selamat mencuba!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan